Thursday, 19 February 2015

Warna alam berubah mengikut waktu solat.

Gambar-gambar ini saya ambil hanya menggunakan telefon Samsung. Saya pernah terbaca mengenai perubahan warna alam. Berdasarkan pengamatan mata kasar dan pengalaman kehidupan, ya benar alam memang berubah-ubah warnanya. Alam gelap apabila malam dan cerah apabila siang. Jika diperhalusi, menghampiri jam 7, alam kebiru-biruan, usai Zohor kelihatan kuning dan sewaktu senja oren kemerahan. 
Saya mahu mengabadikan ia di blog ini. Sesuatu untuk difikirkan, syukuri dan insafi.

Gambar-gambar ini saya ambil ketika percutian keluarga di di Avillion Admiral Cove Port Dickson. Tips: Ambil bilik menghadap pantai ya. 

Kami sampai waktu Asar. Sibuk menguruskan check-in dan barang-barang kemudian makan malam, jadinya pemandangan luar bilik hanya dapat kami nikmati pada waktu Maghrib. Maghrib yang merah ini gambar pertama yang saya ambil.

Saya cuba untuk fokus pada pandangan yang sama ketika mengambil gambar supaya dapat dilihat yang beza pada gambar hanyalah warna. Objeknya tetap sama. 2 buah rumah, jambatan, muncung kapal dan pucuk pokok.

Warna alam berubah merah selaras dengan frekuensi jin dan iblis. Nasihat orang tua supaya tak berada di luar rumah pada waktu ini ada benarnya. Jin iblis amat bertenaga kerana mereka ikut bergetar dan bergema dengan warna alam.

Indigo Isyak menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian. Kerana itu umat Islam dianjurkan tidur awal untuk merehatkan diri dan mengelakkan gelisah jika badan berkeadaan letih.

Selepas tengah malam, alam bersinar dengan pelbagai warna, bermanfaat untuk psikologi dan mental.

Pada saat azan Subuh berkumandang, tenaga biru muda bersesuaian dengan frekuensi tiroid. Mereka yang masih tidur nyenyak akan menghadapi masalah rezeki dan komunikasi kerana tiroid tak dapat menyerap tenaga biru muda ketika roh dan jasad masih tertidur.

Hijau dhuha yang aman dan menenangkan.

Alam berubah kuning yang berpengaruh ke atas perut, sistem pencernaan, hati dan keceriaan.

Asar yang oren berpengaruh terhadap sistem reproduksi yakni prostat, rahim, ovari dan testis..juga kreativiti.

Benar kan..setiap kali berpindahnya waktu solat, ia terjadi bersamaan dengan berubahnya tenaga alam yang dapat diukur, dirasai dan dilihat melalui berubahnya warna alam.

Rasulullah SAW bersabda, "Amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah solat pada waktunya, berbakti kepada kedua orang tua, kemudian jihad di jalan Allah SWT" (Kanzul 'Ummal, Jilid 7, Hadis 18897)

Ditanya Nabi SAW, apakah amalan yang terbaik, maka jawab Nabi, solat di awal waktu. (Riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud, Albani) 

Secara sainsnya, jika kita solat awal waktu, badan kita dapat menyerap tenaga cahaya-cahaya ini sepenuhnya sebelum ia menjadi semakin pudar. Bersyukurlah kita kerana telah disyariatkan solat oleh Allah tanpa perlu kita fikirkan bagaimana hendak mengecaj semula tenaga cahaya ini. Allah mewajibkan solat ke atas kita kerana Dia tahu kita hamba yang amat memerlukanNya.

Umi qaseh bangi

Copyright to BI QASEH REZEKI UMI
Designed by UMIESUEstudio 2015